02 August 2009

Roti: Antara Bahaya dan Keperluan.

Oleh,
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kebanyakan roti dan ban yang dijual di sini melanggar undang-undang dengan sewenang-wenangnya, ia mengandungi terlalu banyak bahan pengawet yang dipanggil asid propionik, walaupun dibenarkan di bawah undang-undang makanan kita, mestilah tidak melebihi paras yang ditetapkan oleh undang-undang.

Dalam ujian yang dijalankan oleh CAP baru-baru ini ke atas pelbagai jenis roti yang dibeli di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, termasuklah roti bantal dan beraneka jenis ban (termasuklah yang dihidangkan dan digunakan sebagai burger dalam rangkaian makanan segera), didapati sehingga 92% mengandungi asid propionik dalam jumlah sehingga 5 kali daripada yang dibenarkan oleh undang-undang.

Di bawah Peraturan Makanan 1985, roti dibenarkan mengandungi asid propionik, dan sodium, potassium atau garam kalsium dalam jumlah yang mestilah tidak melebihi 2,000 mg/kg roti (Peraturan 65 (2) a).

Dalam ujian CAP ke atas 50 sampel roti (27 pada 2005 dan 23 pada 2006), hanya 4 dalam lingkungan had untuk asid propionik. Selebihnya 46 daripada 50 sampel iaitu 92% daripada roti yang diuji oleh kami semuanya mempunyai asid propionik melebihi 2,000 mg/kg (lihat jadual untuk keterangan lanjut).

Antara jenama terkenal yang turut terjejas adalah roti bantal dan ban daripada Gardenia, High 5, dan Roman Meal. Turut terjejas adalah roti dan ban dari rangkaian restoran makanan segera, pasar raya dan kedai roti tempatan.

Gardenia

Sebagai contoh Gardenia Original Classic (Enriched White Bread) mempunyai asid propionik 1.6 kali (ujian 2006) dan 1.8 (ujian 2005) melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang. Gardenia Wholemeal Bread 2.6 kali (ujian 2006) dan 3.7 kali (ujian 2005) melebihi had selamat. Begitu juga Gardenia Breakthru (Formula Multiwholegrain) adalah 2.4 kali (ujian 2006) dan 3.7 kali lebih tinggi (ujian 2005), sementara Gardenia Breakthru (Formula White) adalah 3.3 kali lebih tinggi (ujian 2005).

Ban dari Gardenia juga terlalu buruk. Gardenia Roti Krim Coklat mempunyai 3.1 kali asid propionik melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang. Gardenia Roti Krim Vanila juga 3.0 kali lebih tinggi dan Gardenia Roti Krim Jagung juga 2.4 kali lebih tinggi.

High 5

Jenama terkenal lain High 5 mempunyai hasil yang sama buruk. High 5 Nutri-White Sandwich Bread didapati mempunya asid propionik 1.9 kali lebih tinggi pada 2006. Ia bersamaan High 5 Sandwich Bread pada 2005 iaitu 3.2 kali lebih tinggi. Roti bantal bersaiz besar, High 5 Sure Value Sandwich Bread ialah 3.4 kali lebih tinggi (ujian 2005). High 5 Wholemeal Bread mempunyai asid propionik 1.7 kali lebih tinggi pada 2006 dan 3.5 kali lebih tinggi pada 2005.

Ban High 5 juga mempunyai jumlah bahan pengawet yang melanggar undang-undang. High 5 Roti Krim Vanila adalah 2.2 kali lebih tinggi dan High 5 Roti Krim Coklat 1.6 kali lebih tinggi.

Roman Meal

Kami juga turut menguji roti Roman Meal yang mahal pada 2005 dan ia juga mempunyai paras asid propionik yang terlalu tinggi. Roman Meal Honey & Oat Bran Bread ialah 3.4 kali lebih tinggi, Roman Meal Hi Calcium Bread 3.1 kali lebih tinggi dan Roman Meal 12 Grain Bread 3.0 kali lebih tinggi.

Roti Pasar Raya

Kami juga turut menguji roti daripada pelbagai pasar raya seperti Giant, Tesco dan Gama di Pulau Pinang, dan ia juga turut mempunyai paras asid propionik yang melanggar undang-undang yang ditetapkan. Giant Roti Sandwic ialah 2.9 kali lebih tinggi dan Giant Bread (Concess) 1.7 kali lebih tinggi.

Tesco Wheat Bran Bread mempunyai asid propionik 2.3 kali lebih tinggi. Tesco White Sandwich 1.4 kali lebih tinggi (ujian 2006) tetapi dalam ujian 2005, ia mengandungi hanya 2,062 mg/kg asid propionik, sedikit melebihi had 2,000 mg/kg yang dibenarkan oleh undang-undang.

The Four Leaves English Toast Bread yang dibeli di Pasar Raya Gama di Pulau Pinang adalah 1.9 kali lebih tinggi.

Rangkaian Makanan Segera

Kami juga menguji ban dan burger yang dihidangkan di KFC dan McDonalds. Semua 3 sampel yang diuji gagal dalam ujian. KFC Colonel Burger mempunyai 2.1 kali lebih tinggi bahan pengawet dan ban yang dihidangkan bersama dengan ayam goreng lebih buruk iaitu 3.6 kali lebih tinggi. McDonalds Beefburger mempunyai 1.7 kali lebih tinggi asid propionik dalam ban.

-Suntingan Azizi Hj Abdullah, Editor Utusan Pengguna (CAP).

Sumber dipetik dari: Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment