22 August 2009

Motivasi Rasulullah Di Bulan Ramadhan

Salman al-Farisi berkata, bahawa baginda Rasulullah s.a.w. berkhutbah di akhir bulan Syaaban, sabda baginda:

"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardu pada siang hari, amalan sunnat pada malam-malamnya.

"Sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan daripada amal-amal kebajikan dan kebaikan, seolah-olah dia telah melakukan satu perkara fardu, sementara yang melakukan satu perkara fardu (pada bulan Ramadan), seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardu."

Ramadan adalah bulan kesabaran, dan pahala sabar itu akan membawa ke syurga. Ia juga bulan bertolak ansur, berkasih sayang, bulan yang menambahkan rezeki golongan mukmin.

Sesiapa yang memberi dan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, baginya keampunan seluruh dosa-dosa yang pernah dilakukannya serta pelepasan dari api neraka. Baginya juga pahala yang tidak berkurangan dari orang yang berpuasa.

Para sahabat bertanya: "Sebenarnya kami tidak ada apa yang boleh dijadikan juadah berbuka puasa untuk yang berpuasa, bagaimana kami boleh meraih pahala?"

Baginda menjawab: "Allah tetap akan memberi pahala menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar, atau seteguk air atau setitis susu untuk orang berpuasa."

Ini kerana sabda baginda, pada 10 pertama Ramadan adalah rahmat, 10 pertengahan disediakan keampunan dan 10 akhir Ramadan adalah pelepasan daripada api neraka.

Justeru, tegas baginda, perbanyakkan pada bulan Ramadan dengan empat perkara:

"Dua perkara daripadanya adalah untuk mendapatkan keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi tidak boleh tidak, kamu mesti melakukannya.

"Dua perkara untuk mendapatkan Tuhan kamu itu adalah dengan mengucap syahadat La Ilaha Illallah (tiada Tuhan melainkan Allah) dan memperbanyak Istighfar.

"Sementara dua perkara yang mesti kamu lakukan adalah memohon kepada Allah untuk memasuki syurga-Nya dan minta dijauhkan daripada memasuki neraka-Nya.

"Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberi minum kepadanya dari telagaku, di mana dia tidak akan merasa dahaga selepas meminumnya hingga dimasukkan dalam syurga." (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dalam kitab sohihnya, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban).

Selamat Beramal..

21 August 2009

Salam Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

haa.. saudara saudari sekalian.. Malam ni bermulalah Solat Sunat Tarawikh.. maknanya, bermulalah Bulan Ramadhan Al-Mubarak.. Dalam satu hadis ada menyebut:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: "Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia (orang yang berpuasa) telah meniggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku." (Hadith riwayat Muslim)

Jadi, marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan menggandakan amalan-amalan sunat yang ganjarannya amatlah berlipat kali ganda..

Semoga Ramadhan kali ini menjadikan kita umat yang lebih kuat dan teguh imannya kepada Allah Rabbul Jalil..

Kepada semua, puasa tau.. jangan tak posa.. kepada adik-adik, puasa.. nanti tak dapat duit raya.. haha..

11 August 2009

Alex Ferguson tak Puas Hati!



FERGUSON (kiri) menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada Foy pada perlawanan Perisai Komuniti kelmarin.


LONDON - Alex Ferguson menyelar keputusan pengadil perlawanan, Chris Foy yang tidak melayangkan kad merah kepada Michael Ballack pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley kelmarin.

Perancang Chelsea itu dilihat menyiku Patrice Evra sehingga menyebabkan pertahanan Manchester United terjatuh.

Foy bagaimanapun membiarkan permainan diteruskan dan situasi itu menyaksikan Frank Lampard meledakkan gol kedua Chelsea ketika kedudukan terikat 1-1.

"Jika pengadil melihatnya dengan teliti, ia satu kesalahan kad merah," kata Ferguson.

"Dia telah menyiku Evra dengan jelas. Pengadil berada berhampiran dan mempunyai pandangan yang jelas, jadi dia (Ballack) lebih bernasib baik. Begitupun, sekurang-kuranya pengadil patut menghentikan permainan."

Ferguson juga menuduh kalangan pemain bintang The Blues yang sengaja berpura-pura cedera untuk melambatkan permainan.

"Ketika gol kedua mereka, pengadil membuat keputusan untuk enggan menghentikan permainan. Dia telah pun menghentikan permainan sebanyak dua kali," kata Ferguson.

"Pengadil kata ia insiden yang serius walaupun Ballack terus bangun selepas itu. Apabila pemain berlakon untuk menghentikan permainan, itulah perkara yang saya bimbangkan.

"Perbuatan itu tidak betul. Sesuatu harus dilakukan untuk menanganinya. Jika pengadil denda pemain kerana menghentikan permainan, maka tidak mengapa. Tapi dia (pengadil) tidak membuat keputusan dengan baik hari ini." - Agensi

04 August 2009

Salam H1N1

Pada hari ini, tanggal 4 August 2009,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor,
tempat aku mengaji telah pun diarahkan Tutup,
oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ini adalah berikutan Virus H1N1 yang menular
diseluruh negara pada ketika ini.

Pihak pengurusan kolej telah melaporkan bahawa
seramai 700 orang pelajar telah dijangkiti
simptom-simptom Virus H1N1.
Rentetan dari wabak tersebut,
seorang pelajarnya telah meninggal dunia
pada pagi 4 /8/2009.
Pada hari Kolej ditutup la..

Dengan itu,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
telah mengeluarkan NOTIS PENUTUPAN
bermula dari tarikh
04/08/2009
sehingga
10/08/2009.

Pesanan kepada semua pelajar,
bercutilah dengan selamat.
Jangan syok sangat,
ingatlah orang yang tersayang.

Sumber: sumber mana ada.. aku buat sendiri la..
blog aku.. aku punya pasai la..
haha..



Virus H1N1

Mutasi virus selesema

Virus influenza A boleh melalui proses mutasi dalam dua cara - perubahan antigenik yang mana antigen sedia ada berubah. Satu lagi membabitkan perubahan gabungan dua atau lebih antigen. Perubahan antigen ini berlaku dari setahun ke setahun membabitkan jenis yang lazimnya dijangkiti manusia. Berikutan itu, manusia mempunyai separuh, jika tidak sepenuh kekebalan. Sebaliknya, virus H1N1 yang baru itu dilihat berasal daripada perubahan antigen babi di Mexico.

Potensi virus ini

Nama selesema babi itu memberi gambaran kurang tepat kerana ia seolah-olah mengaitkan babi sebagai ‘lubuk’ campuran beberapa jenis virus selesema iaitu gabungan genetik babi, unggas dan manusia. Ada antara antigen itu membabitkan jenis baru yang tidak pernah disaksikan sistem imun hampir keseluruhan manusia. Berikutan itu, jenis baru ini berpotensi mencetuskan pandemik atau wabak besar-besaran.

Bolehkah manusia dijangkiti selesema babi?

Ia lazimnya tidak dijangkiti manusia, kecuali kes tertentu membabitkan mereka yang bersentuhan dengan haiwan itu. Malah ada kes yang sebelum ini jarang berlaku yang mana manusia menyebarkan virus itu kepada individu lainnya. Wabak terbaru ini menjadi bukti jangkitan antara manusia dari manusia itu secara mudah dan cepat yang sekali gus memerlukan perhatian segera pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia. Virus itu tersebar dari manusia kepada manusia, sama seperti virus selesema lain menerusi batuk, bersin atau sentuhan pada permukaan yang dijangkiti.

Apakah ia jenis baru virus?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan sekurang-kurangnya beberapa kes jangkitan manusia membabitkan jenis H1N1 yang belum pernah dilihat sebelum ini. H1N1 ialah jenis sama yang menyebabkan wabak demam selesema di kalangan manusia sering berlaku. Tetapi kali ini, jenisnya berbeza kerana mengandungi material genetik yang lazimnya ditemui dalam virus yang dijangkiti manusia, unggas dan babi.

Contoh kejadian penyebaran selesema babi di kalangan manusia?

  • 1976 - Wabak selesema babi di kalangan anggota tentera di Fort Dix, New Jersey. Virus itu menyebabkan masalah pneumonia atau radang paru-paru yang dihidapi sekurang-kurangnya empat askar dan satu kematian lain. Virus itu tersebar dengan mudah berikutan persekitaran latihan ketenteraan dan terhad kepada pihak luar.
  • 1988 - Seorang wanita 32 tahun yang hamil dan diketahui sihat, dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru dan mati lapan hari kemudian. Pemeriksaan lanjut menemui virus H1N1. Empat hari sebelum jatuh sakit, mangsa mengunjungi satu pesta pameran babi dan binatang itu diketahui mempunyai gejala selesema babi.


Sejauh mana bahayanya?

Simptom selesema babi sama seperti jenis yang mencetuskan demam selesema yang sering berlaku, seperti demam, batuk, sakit tekak, sengal badan, kesejukan dan lemah atau lesu.

Perlukah kita bimbangkan ancamannya?

Berikutan ciri-ciri virus baru ini yang memungkinkan penyebaran dari manusia kepada manusia, ia perlu dipantau rapi sebagai persiapan kemungkinan mencetuskan wabak besar-besaran pada peringkat global. Pihak WHO sudah memberi amaran, jika kes di Mexico dan Amerika Syarikat itu sama, ia boleh mencetuskan pandemik atau wabak besar-besaran di seluruh dunia dan menegaskan keadaan sekarang sememangnya serius, biarpun ada pakar menyifatkannya terlalu awal untuk menilai keadaan itu secara keseluruhannya. Tetapi mereka tidak menolak kemungkinan dunia semakin hampir kepada wabak demam selesema besar-besaran sejak wabak yang tercetus pada 1968.

Pakar turut mengkategorikan tahap ancaman itu di paras empat berbanding skala enam peratus. Tiada siapa pun tahu impak keseluruhan wabak besar-besaran itu, tetapi pakar sebaliknya sudah memberi amaran ia boleh menyebabkan kehilangan berjuta-juta nyawa.

Hakikat, kesemua kes di Amerika Syarikat dan lainnya yang menyebabkan gejala atau simptom sederhana, disifatkan sebagai satu perkembangan yang menggalakkan. Ia menunjukkan seriusnya wabak di Mexico berkemungkinan besar disebabkan faktor geografi yang berbeza dan disifatkan amat luar biasa yang mungkin menunjukkan ada virus kedua yang tiada kaitan menular dalam masyarakat dan berkemungkinan tidak semudah itu mencetuskan masalah di seluruh dunia.

Kemungkinan lain, mangsa yang dijangkiti di Mexico, mungkin mendapatkan rawatan lewat di negara lain.

Andaian lain, mungkin juga virus yang tersebar di Mexico berbeza daripada jenis yang tersebar di tempat lain dan ini pun masih perlu disahkan oleh analisis makmal. Namun, hakikat majoriti mangsanya masih muda juga disifatkan menjadi petunjuk yang agak aneh kerana andai masalah ini dikaitkan dengan musim demam selesema, ia lazimnya menyerang mangsa yang lebih tua.

Berapa lamakah tempoh mereka yang dijangkiti menyebarkan kepada orang lain?

Mereka yang dijangkiti selesema babi, disifatkan sebagai boleh menyebarkan virus itu selagi masih ada simptom berkaitan sehingga tujuh hari sejak gejala itu mula dikesan. Kanak-kanak misalnya, berpotensi dijangkiti bagi tempoh lebih lama.

Simtpom atau gejala?

Demam, batuk, sakit badan, sukar bernafas

Bolehkah virus ini dikawal?

Virus ini sudah pun menunjukkan tanda-tanda penularan hampir di seluruh dunia dan kebanyakan pakar percaya usaha mengawalnya pada era yang menyaksikan perjalanan udara suatu kelaziman, sememangnya amat sukar.

Cara rawatan dan vaksinnya?

Pihak berkuasa Amerika Syarikat berkata ada dua jenis ubat yang sering digunakan bagi merawat demam selesema - Tamiflu dan Relenza yang terbukti berkesan merawat kes sebelum ini. Namun, ia perlu diberi seawal mungkin bagi memastikan keberkesanannya. Penggunaan ubat ini juga menyukarkan virus itu dijangkiti orang lain. Kerajaan Britain sudah pun menyediakan bekalan 33 juta dos Tamiflu yang dipesan awal bagi berdepan pandemik ini. Namun, tidak jelas sejauh mana keberkesanan vaksin yang ada sebagai perlindungan jenis baru virus ini yang secara genetiknya berbeza daripada jenis lain. Saintis Amerika sudah pun menghasilkan vaksin baru tetapi ia memerlukan masa untuk disempurnakan dan dihasilkan bagi memenuhi permintaan besar dunia. Ada satu vaksin yang digunakan bagi melindungi manusia daripada versi awal selesema babi di Amerika pada 1976. Bagaimanapun, ia menyebabkan kesan sampingan serius, termasuk kira-kira 500 kes sindrom Guillain-Barré yang menyebabkan lebih banyak kematian berbanding kesan wabak ketika itu.

Apa harus lakukan untuk selamat?

Mereka yang mempunyai simptom atau gejala demam selesema atau ada kemungkinan terdedah kepada virus selesema babi, perlu mendapatkan rawatan perubatan termasuk segera ke hospital.

Bagaimana mengelak jangkitan?
  • Elakkan berada di tempat mereka yang kurang sihat dan menghidap demam serta batuk.

  • Amalan kawalan am jangkitan dan persekitaran yang bersih, boleh mengurangkan risiko menyebarkan virus.

  • Tutup hidung dan mulut apabila bersin atau batuk dengan menggunakan tisu dan dibuang dengan cara betul.

  • Kerap basuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman dan air bagi mengelak penyebaran virus dari tangan ke muka serta kepada orang lain. Juga, kerap cuci permukaan seperti tombol pintu, menggunakan cecair cucian yang sesuai.

  • Gunakan topeng pernafasan jika menjaga mereka yang sakit, selain mengelak risiko menyebarkan virus.

  • Segera berjumpa doktor jika mempunyai simptom dan pernah melawat Mexico, New York, California, Texas dan Ohio di Amerika Syarikat serta ke Kanada selepas 17 April lalu.
Sumber: Berita Harian

02 August 2009

Roti: Antara Bahaya dan Keperluan.

Oleh,
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kebanyakan roti dan ban yang dijual di sini melanggar undang-undang dengan sewenang-wenangnya, ia mengandungi terlalu banyak bahan pengawet yang dipanggil asid propionik, walaupun dibenarkan di bawah undang-undang makanan kita, mestilah tidak melebihi paras yang ditetapkan oleh undang-undang.

Dalam ujian yang dijalankan oleh CAP baru-baru ini ke atas pelbagai jenis roti yang dibeli di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, termasuklah roti bantal dan beraneka jenis ban (termasuklah yang dihidangkan dan digunakan sebagai burger dalam rangkaian makanan segera), didapati sehingga 92% mengandungi asid propionik dalam jumlah sehingga 5 kali daripada yang dibenarkan oleh undang-undang.

Di bawah Peraturan Makanan 1985, roti dibenarkan mengandungi asid propionik, dan sodium, potassium atau garam kalsium dalam jumlah yang mestilah tidak melebihi 2,000 mg/kg roti (Peraturan 65 (2) a).

Dalam ujian CAP ke atas 50 sampel roti (27 pada 2005 dan 23 pada 2006), hanya 4 dalam lingkungan had untuk asid propionik. Selebihnya 46 daripada 50 sampel iaitu 92% daripada roti yang diuji oleh kami semuanya mempunyai asid propionik melebihi 2,000 mg/kg (lihat jadual untuk keterangan lanjut).

Antara jenama terkenal yang turut terjejas adalah roti bantal dan ban daripada Gardenia, High 5, dan Roman Meal. Turut terjejas adalah roti dan ban dari rangkaian restoran makanan segera, pasar raya dan kedai roti tempatan.

Gardenia

Sebagai contoh Gardenia Original Classic (Enriched White Bread) mempunyai asid propionik 1.6 kali (ujian 2006) dan 1.8 (ujian 2005) melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang. Gardenia Wholemeal Bread 2.6 kali (ujian 2006) dan 3.7 kali (ujian 2005) melebihi had selamat. Begitu juga Gardenia Breakthru (Formula Multiwholegrain) adalah 2.4 kali (ujian 2006) dan 3.7 kali lebih tinggi (ujian 2005), sementara Gardenia Breakthru (Formula White) adalah 3.3 kali lebih tinggi (ujian 2005).

Ban dari Gardenia juga terlalu buruk. Gardenia Roti Krim Coklat mempunyai 3.1 kali asid propionik melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang. Gardenia Roti Krim Vanila juga 3.0 kali lebih tinggi dan Gardenia Roti Krim Jagung juga 2.4 kali lebih tinggi.

High 5

Jenama terkenal lain High 5 mempunyai hasil yang sama buruk. High 5 Nutri-White Sandwich Bread didapati mempunya asid propionik 1.9 kali lebih tinggi pada 2006. Ia bersamaan High 5 Sandwich Bread pada 2005 iaitu 3.2 kali lebih tinggi. Roti bantal bersaiz besar, High 5 Sure Value Sandwich Bread ialah 3.4 kali lebih tinggi (ujian 2005). High 5 Wholemeal Bread mempunyai asid propionik 1.7 kali lebih tinggi pada 2006 dan 3.5 kali lebih tinggi pada 2005.

Ban High 5 juga mempunyai jumlah bahan pengawet yang melanggar undang-undang. High 5 Roti Krim Vanila adalah 2.2 kali lebih tinggi dan High 5 Roti Krim Coklat 1.6 kali lebih tinggi.

Roman Meal

Kami juga turut menguji roti Roman Meal yang mahal pada 2005 dan ia juga mempunyai paras asid propionik yang terlalu tinggi. Roman Meal Honey & Oat Bran Bread ialah 3.4 kali lebih tinggi, Roman Meal Hi Calcium Bread 3.1 kali lebih tinggi dan Roman Meal 12 Grain Bread 3.0 kali lebih tinggi.

Roti Pasar Raya

Kami juga turut menguji roti daripada pelbagai pasar raya seperti Giant, Tesco dan Gama di Pulau Pinang, dan ia juga turut mempunyai paras asid propionik yang melanggar undang-undang yang ditetapkan. Giant Roti Sandwic ialah 2.9 kali lebih tinggi dan Giant Bread (Concess) 1.7 kali lebih tinggi.

Tesco Wheat Bran Bread mempunyai asid propionik 2.3 kali lebih tinggi. Tesco White Sandwich 1.4 kali lebih tinggi (ujian 2006) tetapi dalam ujian 2005, ia mengandungi hanya 2,062 mg/kg asid propionik, sedikit melebihi had 2,000 mg/kg yang dibenarkan oleh undang-undang.

The Four Leaves English Toast Bread yang dibeli di Pasar Raya Gama di Pulau Pinang adalah 1.9 kali lebih tinggi.

Rangkaian Makanan Segera

Kami juga menguji ban dan burger yang dihidangkan di KFC dan McDonalds. Semua 3 sampel yang diuji gagal dalam ujian. KFC Colonel Burger mempunyai 2.1 kali lebih tinggi bahan pengawet dan ban yang dihidangkan bersama dengan ayam goreng lebih buruk iaitu 3.6 kali lebih tinggi. McDonalds Beefburger mempunyai 1.7 kali lebih tinggi asid propionik dalam ban.

-Suntingan Azizi Hj Abdullah, Editor Utusan Pengguna (CAP).

Sumber dipetik dari: Persatuan Pengguna Pulau Pinang.