Menurut Setiausaha Majlis Shariah, Asian Finance Islamic Bank Berhad. Ustaz Hj. Zaharuddin Hj. Abdul Rahman ketika ditemui, corak perniagaan berasaskan jualan langsung atau MLM ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
"Secara umumnya MLM adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak tingkat. Biasanya ia dikenali dengan istilah upline dan downline. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan sama ada yang bersifat vertikal (atas ke bawah) mahupun horizontal (kiri ke kanan), ataupun gabungan keduanya. Ia merupakan sistem promosi atau jualan barangan dan perkhidmatan yang baru, berbeza dengan bentuk perniagaan tradisional yang menjual produk atau perkhidmatan di premis tertentu. Malah, ia dipromosikan oleh individu yang dilantik menjadi pengedar atau ejen. Setiap ahli yang menyertai perniagaan tersebut mempunyai target yang perlu dicapai bagi mendapatkan ganjaran yang ditawarkan.
"Ia juga merupakan alternatif bagi mereka yang mahu mulakan perniagaan tetapi mempunyai modal yang terhad atau tidak mempunyai sijil spesifik dalam bidang perniagaan. Syarat penyertaan juga cukup mudah. Asalkan pandai bercakap dan menyakinkan orang ramai serta rajin berkempen sudah cukup untuk melayakkan diri menjadi ahli. Statistik tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM4 bilion dan lebih dari tiga juta rakyat Malaysia terlibat dalam urus niaga MLM.
"Syarikat yang menganjurkan perniagaan alternatif ini perlu mempunyai lesen AJL (Akta Jualan Langsung) yang diperoleh dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP). Untuk mendapatkan lesen tersebut, syarikat dikehendaki membuat presentation produk atau perkhidmatan serta mengemukakan pelan pemasaran kepada pihak Kementerian terlebih dahulu. Namun, amat mendukacitakan apabila terdapatnya syarikat yang menukar pelan pemasaran yang dibentangkan setelah mendapat kelulusan dan lesen AJL. Perubahan drastik yang dilakukan menjadi lebih kompleks sehingga ada yang menyalahi disiplin dan akta yang dikenakan. Mujurlah pihak kementerian bertindak bijak apabila menyiasat enam buah syarikat MLM yang dicurigai melakukan perkara yang bertentangan akta dan peraturan beberapa bulan lalu.
"Hanya mereka yang benar-benar berani dan ‘tak tahu malu' saja yang boleh menyertai perniagaan ini. Mereka perlu sungguh-sungguh bercerita demi untuk menyakinkan orang ramai tentang kelebihan produk yang dijual selain melengkapkan bilangan ‘kaki' (downline) yang diperlukan untuk mereka naik ke tahap yang lebih tinggi. Pendek kata, memang kena tebal muka. Sungguhpun begitu terdapat beberapa risiko yang perlu ditelitikan. Jangan kerana terlalu taksub dan teruja mendapatkan wang lebih sehingga sanggup berhenti kerja atau belajar dan akhirnya mengalami masalah kewangan yang serius," katanya.
Credit to: Ust zaharuddin